Monday 29 July 2013

MALAM LAILATUL QADAR




'Lailatul Qadar (Bahasa Arab: لیلة القدر‎) adalah satu malam yang khusus terjadi di bulan Ramadhan. Ayat al-Qur'an diturunkan pada malam ini. Malam ini disebut di dalam al-Qur'an dalam surah Al-Qadr, dan ia lebih baik daripada seribu bulan.
Saat pasti berlangsungnya malam ini tidak diketahui namun menurut beberapa hadis, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan, iaitu pada salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, 23, 25, 27 atau ke-29, ini adalah pandanagn jumhur ulama' dan umat Islam. Malah ada sebahagian kecil ulama yang menganggap ia berlaku pada malam genap seperti malam ke 22, 24, 26, 28 atau 30 Ramadhan. Ada juga sebahagian ulama berpendapat ia adalah tetap, iaitu pada malam ke 27. Walau bagaimanapun, antara hikmah malam ini dirahsiakan agar umat Islam rajin beribadat di sepanjang malam khususnya di sepuluh malam yang terakhir. Majoriti Muslim biasanya berusaha agar tidak mensia-sia malam ini. Mereka akan tekun dan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadan sambil beribadah sepanjang malam. Yang pasti, Lailatul Qadar atau Malam al-Qadar ialah satu malam dalam bulan Ramadhan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa yang beramal pada malam tersebut sama seperti beramal selama 1,000 bulan, iaitu bersamaan 83 tahun 4 bulan, jika mendapatnya selama 10 tahun bersamaan beribadat lebih 833 tahun, jika mendapatnya selama 20 tahun bersamaan lebih 1,666 tahun, jika mendapatnya selama 30 tahun mendapatnya bersamaan 2,500 tahun, berbahagialah orang yang tidak pernah meninggalkan solat Isyak berjamaah dan solat Tarawih kerana orang yang solat Isyak berjamaah dan solat Tarawih termasuk dari kalangan orang mendapat Lailatul Qadar, dan Rasulullah s.a.w. mengatakan sesiapa yang tidak mendapatnya dia adalah tergolong daripada orang yang amat rugi.
1. Sejarah ringkas Malam al-Qadar: Apabila sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. mengkagumi ibadah seorang umat Bani Israil yang beribadah selama 1,000 bulan, dengan beribadah pada malam hari dan berjihad pada siangnya, lalu Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan surah al-Qadar yang menyatakan malam al-Qadar baik daripada 1,000 bulan. Ia adalah rahmat dan kurniaan Allah Ta’ala kepada Umat Nabi Muhammad s.a.w.
BILAKAH LAILATUL QADAR?
1. Lailatul Qadar satu malam dalam bulan Ramadhan yang tidak diketahui dengan tepat tarikhnya. Ia lebih diharapkan untuk mendapatkannya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan, terutama malam-malam yang ganjil daripada 10 hari terakhir Ramadhan tersebut. Waktunya dikira apabila masuk waktu Maghrib sehingga terbit fajar. Seluruh ulama sepakat bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar, sebahagian ulama berpendapat malam al-Quran diturunkan itu berlaku pada 17 Ramadhan, Syaikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfury dalam kitab Sirah Nabawiyyah mengatakan al-Quran diturunkan pada malam ke 21 Ramadhan.
2. Satu kaedah mengetahuinya, kata Imam Ghazali, kebiasaannya, jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad dan Rabu maka Lailatul Qadar malam ke 29, jika hari Isnin maka Lailatul Qadar malam ke 21, dan jika hari Jumaat dan Selasa, maka Lailatul Qadar malam ke 27, jika hari Khamis maka Lailatul Qadar malam ke 25, jika hari Sabtu maka Lailatul Qadar malam ke 23. Tetapi kaedah ini bukanlah sesuatu yang muktamad, mungkin ia bertepatan dengannya dan mungkin juga tidak, mungkin juga ia berlaku pada malam yang genap, kerana bagi negara kita ia malam yang genap tetapi bagi negara yang puasa lewat atau awal satu hari, ia adalah malam yang ganjil, jadi carilah dengan tekun pada 10 malam yang terakhir tesebut.
SIAPAKAH YANG MENDAPAT LAILATUL QADAR?
1. Orang yang pasti mendapat sebahagian Lailatul Qadar ialah orang yang solat Fardhu Maghrib dan Isyak secara berjamaah sepanjang bulan Ramadhan, dan dia tidur dengan azam yang kuat untuk solat Subuh berjemaah. Sabda Rasulullah s.a.w. “Sesiapa yang sholat ‘Isya` berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiyamulail separuh malam; Dan sesiapa yang sholat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersolat sepanjang malam.” (Hadis Sahih Riwayat Imam Tarmizi, Ibnu Majah dan Nasai)

2. Solat tarawih adalah termasuk solat malam kerana ia dilakukan selepas solat Isyak, orang yang solat tarawih dikira solat sunat pada malam Lailatul Qadar, oleh itu tambahkanlah lagi bilangan rakaatnya pada 10 malam terakhir Ramadhan.

APAKAH DOA DAN AMALAN LAILATUL QADAR?
1. Bagi orang yang mendapat Lailatu Qadar ucapkanlah:
اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، وَاعْفُ عَنّى وَعَنْ وَالِدَىَّ
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi Kemaafan (Maha Pengampun), Suka memberi kemaafan (keampunan), maka maafkanlah (ampunkanlah) aku dan kedua ibu bapaku.”
2. Banyakkan solat, membaca al-Quran, doa dan zikir. Berdoalah juga dengan lain-lain doa dalam bahasa kita untuk lain-lain kebaikan dunia dan akhirat, janganlah berdoa sesuatu yang buruk.
3. Bacalah walaupun 1 ayat al-Quran sebelum tidur, kerana jika berbetulan dengan malam Qadar pahalanya lebih baik daripada sekali khatam al-Quran pada malam-malam lain. (sebaik-baiknya bacalah 10 kali Surah Al-Ikhlas, iaitu Qul Huwallahu Ahad)
4. Bagi perempuan yang haidh atau nifas, ucapkan zikir-zikir di bawah:
سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلا إِلَهَ إلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ
CUACA PADA MALAM LAILATUL QADAR
1. Cuaca malam Qadar sangat tenang dan tenteram, malaikat turun berduyun-duyun sehingga melebih jumlah batu-batu kerikil di muka bumi ini, mereka memberi salam dan aminkan doa mereka yang sedang beribadah, samada solat, berdoa atau berzikir (perempuan yang sedang uzur, haidh atau nifas, juga boleh berdoa dan berzikir walaupun tidak boleh solat).
2. Diriwayatkan dalam satu hadis Imam al-Bukhari, pernah berlaku malam Qadar pada malam yang hujan. Oleh itu jangan abaikan malam yang hujan kerana menyangka ia bukan malam Qadar. Hujan adalah rahmat dari Allah Ta’ala.

Sunday 7 July 2013

Selamat Menyambut Ketibaan Bulan Ramadhan 2013


Selamat Menyambut Ketibaan Bulan Ramadhan Al Mubarak 2013 diucapkan kepada semua Guru dan kakitangan SKBW.